Wednesday, June 18, 2008

Sinopsis Tok Perak : Yang Mencari dan Menanti

Tok Perak : Yang Mencari Dan Menanti – Drama Sepintas Lalu merupakan kesinambungan dari teater Tok Perak yang pernah dipentaskan di Panggung Eksperimen, Universiti Malaya pada tahun 1975 dan 1979.

Teater Tok Perak yang terbaru ini mengisahkan tentang seorang penjual ubat, Tok Perak yang muncul semula selepas 34 tahun hilang di dunia terbuka, katanya kerana ingin mencebur diri dalam negara yang tentu lebih matang dan makmur setelah lima puluh tahun merdeka dan ingin membuka langkah baru menjaja hikmat dan nikmat zahir batin kepada manusia abad 21.

Seperti biasanya, Tok Perak berjaja dari tempat ke tempat di seluruh negara, dan dari tempat ke tempat dia menemui berbagai perkara dan bermacam kisah yang menghalang kegiatannya, menentang tingkah lakunya, membantah kata-katanya hingga dia ditangkap dan dihukum “kerana mengacau dan mengganggu ketenteraman awam”.

Tok Perak pergi ke sebuah taman di pinggir kota memikirkan kejadian terhadapnya. Dia berjumpa dengan seorang pelakon bekerja sebagai tukang kebun kerana tiada tempat dia boleh berlakon tetap. Sambil mereka berbual suasana bergolak membawa ribut. Tok Perak dan pelakon pergi berlindung di pondik tukang kebun sambil awan-awan berpusing-pusing, pokok-pokok tercabut dan segala binaan dan bangunan bergoncang.

Redanya ribut Tok Perak dan pelakon keluar beredar ke sana ke mari melihat kesan ribut melanda. Yang paling hebat – beberapa bangunan dan binaan runtuh dan banyak kaum kerabat tercampak keluar dari tempat kediaman dan tapak amalan biasa. Tok Perak berkata kepada pelakon, “Diharap ribut memberi peluang keadaan dan kaedah lama diganti dengan pembawa baru supaya kita dapat berkhidmat sempurna”.

Tok Perak muncul kali ini dalam suasana negara yang baru, yang berbeza dengan kemunculannya 34 tahun yang lalu. Bagaimana Tok Perak berhadapan dengan suasana negara yang baru ini? Dan apakah yang berbeza pada diri Tok Perak? Tok Perak watak yang cukup terkenal telah menjadi ikon teater Melayu moden. Dia bukan penjual ubat biasa, malah dia adalah seniman yang melihat dan menafsir dunia sekelilingnya dengan ilmu (hikmat) dan pengalamannya. Dia muncul 34 tahun lalu ketika negara baru lepas menghadapi pergolakan sosial dan kini muncul semula pada ketika negara baru lepas menghadapi ribut kepimpinan. Apa yang akan berlaku? Apa yang dicari oleh Tok Perak dan apa yang ditemuinya?

1 comment:

zubin said...

setelah meletakkan blog tok perak dan memanggil beberapa teman KL Fringe Festival (www.klfringefestival.blogspot.com) datang menonton Tok Perak, bertemulah kita di situ. Pertemuan tersebut menjadi pertemuan menarik membincangkan bukan saja sejarah teater di Malaysia tetapi juga cultural policy serta cultural politics di Malaysia! kalau nak tahu layari www.saloranseni.blogspot.com